Pembangkang tak mahu terlibat undi dokumen tidak sah: Takiyuddin

in Nasional by

Takiyuddin (empat dari kiri) bersama ahli Parlimen pembangkang lain ketika sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Keputusan pembangkang untuk tidak mengambil bahagian dalam pengundian usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin kerana tidak mahu terlibat mengundi dokumen yang tidak sah.

Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu juga bercanggah dengan Perlembagaan, selain tidak mempunyai ‘roh’.

“Dewan telah membuat keputusan bahawa usul ini diluluskan dan kita mendengar ia lulus dengan suara tanpa belah bahagi. Kami mengambil pendirian bahawa tidak ada keperluan usul ini dibuat kerana Perdana Menteri telah dilantik dan kabinet juga telah dibentuk.

“Didapati bahawa sokongan terhadap Perdana Menteri daripada 222 ahli Parlimen tidak diketahui,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.

Tambahnya, MoU yang ditandatangani parti gabungan yang menyokong kerajaan dipimpin Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun didakwa menyekat kebebasan Ahli Dewan Rakyat.

Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri terbukti apabila usul undi percaya terhadapnya diluluskan sebulat suara di Dewan rakyat pada Isnin.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof membentangkan usul undi percaya terhadap Anwar.

Sejurus itu, usul tersebut turut dibahaskan dengan 12 ahli Parlimen mengambil bahagian.

Usul itu kemudiannya digulung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).