Pengarah Bomba Selangor diserang 'minor stroke', keletihan

in Berita Semasa by

Norazam ketika di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Ahad. – Foto Bernama

BATANG KALI – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis dikejarkan ke Hospital Selayang kira-kira jam 6 petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, Norazam dimasukkan ke hospital berikutan mengalami keletihan dan minor stroke atau angin ahmar ringan.

“Beliau kini dalam keadaan terkawal dan dalam keadaan sedar.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan mangsa yang belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor masih diteruskan seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, semua pihak diharapkan agar mendoakan agar kesihatan Norazam kembali pulih.

Pada Jumaat, seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi di tapak perkhemahan Hilltop di Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali di sini.