Usul percaya kepada Perdana Menteri dibahas

in Nasional by

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini akan dibahaskan.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul berkenaan akan dibentangkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Menurut Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan yang dijadual berlangsung pada jam 3.30 petang.

“Saya akan turut terlibat berbahas hari ini ketika sesi perbahasan undi percaya kepada Kerajaan Perpaduan.

“Sahabat-sahabat boleh ikuti secara langsung di platform media sosial saya. Pohon disebarkan kepada semua yang ingin mengikuti,” katanya di Twitter beliau pada Isnin.

Selepas melalui pelbagai episod politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirai hari ini bakal menjadi ujian pertama keutuhan Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.

Usul itu bertujuan membuktikan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan majoriti susulan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Kali pertama usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat pada 27 Januari, 1976 ketika bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menggantikan Tun Abdul Razak Hussein.

Usul sama kali kedua berlaku pada tahun 2003, semasa zaman peralihan kepimpinan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

PERBAHASAN UNDI PERCAYA KEPADA KERAJAAN PERPADUAN

Saya akan turut terlibat berbahas hari ini ketika sesi Perbahasan Undi Percaya kepada Kerajaan Perpaduan sekitar jam 3.30 petang. pic.twitter.com/yE9awDrGgZ

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 19, 2022