58 bookie Piala Dunia Qatar ditahan

in Berita Semasa by

Kamarul Zaman (kanan) menunjukkan wang tunai dan barang yang dirampas daripada bookie perjudian bola sepak Piala Dunia Qatar 2022, pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Selasa

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan 58 ejen atau bookie perjudian dalam talian Piala Dunia Qatar 2022 dengan hasil pertaruhan melibatkan kredit limit lebih RM10.10 juta, menerusi Ops Soga IX di seluruh negeri.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang diberkas terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia antara 18 sehingga 70 tahun.

Kejayaan ini adalah hasil tindakan tegas serta risikan pihak polis yang menjalankan operasi bermula 21 November hingga 18 Disember lalu.

“Fokus utama Op Soga IX adalah mencegah dan membanteras sebarang perjudian atau pertaruhan yang melibatkan Kejohanan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, menerusi operasi itu juga pihaknya merampas wang tunai RM35,710 serta SGD500 (RM1,635), dua set komputer dan 59 telefon pintar pelbagai jenama berserta kad sim selain sebuah memo pad.

Jelasnya, sebanyak 13 laman sesawang perjudian dikenal pasti dan diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, semua tangkapan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(d), Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Beliau memberitahu, bermula 1 Januari sehingga 18 Disember lalu, Polis Johor telah melakukan 2,266 serbuan membabitkan 2,930 tangkapan melibatkan aktiviti perjudian.

“Dalam tempoh sama, sebanyak RM867,177 wang tunai serta 1,211 unit telefon bimbit pelbagai model dirampas,” katanya.