92 lokasi 'hot spot' banjir di Negeri Sembilan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Gambar hiasan – Foto 123RF

SEREMBAN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan merekodkan 92 lokasi ‘hot spot’ banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Ir Saari Abdullah berkata, Seremban merekodkan lokasi ‘hot spot’ paling banyak iaitu 27 tempat dengan empat kawasan paling berisiko iaitu Taman Andalas Mantin dan tiga kampung di kawasan Pantai iaitu Kampung Mayor, Kampung Batu 6 dan Kampung Batu 7.

“Ia diikuti Port Dickson (18 tempat) dan enam lokasi paling berisiko iaitu Taman Wawasan, Indah Jaya, Kampung Sri Parit, Kampung Paya, Taman Desa Permai dan Kampung Baru Si Rusa.

“Bagi daerah Rembau, terdapat 14 tempat dan lima kawasan paling berisiko iaitu Pekan Kita, Kampung Semerbok, Kampung Paabai, Kampung Batu dan Kampung Bintongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, terdapat 10 lokasi hot spot di Jempol dan Jelebu manakala sembilan di Tampin.

Tambah beliau, bagi daerah Kuala Pilah pula terdapat empat lokasi ‘hot spot’ direkodkan dan Kampung Orang Asli Kelapi, Kampung Parit serta Kampung Tanjung Jati didapati paling berisiko.

Selain itu katanya, terdapat 26 sistem siren amaran banjir dan 11 kamera web yang dipasang di beberapa lokasi.

“JPS telah pun membuat pemeriksaan terhadap semua sistem amaran banjir yang disediakan bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

“Cuma kita harapkan penduduk dapat beri makluman segera jika alat itu didapati rosak atau tidak berfungsi supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Penduduk juga dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah bersiap sedia apabila keadaan hujan berterusan,” katanya