Agihan peruntukan perlu adil kepada semua ADUN: Sultan Perak

in Edisi by

Sultan Nazrin bertitah sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa. – Foto Urusetia DUN Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar agihan peruntukan perlu dibuat secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) demi kepentingan rakyat.

Baginda bertitah, rakyat tidak harus dihukum dengan terpaksa menanggung kesusahan, sebaliknya kepentingan dan kebajikan mereka perlu sentiasa diutamakan.

Menurut baginda, ADUN yang dipilih juga perlu memenuhi tanggungjawab yang telah amanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan perlembagaan.

“Jauhi sifat-sifat angkuh dan bongkak dengan tidak mengamalkan budaya yang menang, menang semua; di sebaliknya, hendaklah bersifat adil mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis, tanpa diskriminasi, tanpa penindasan kepada mana-mana pihak.

“Ini kerana setiap pengundi ialah makhluk Ilahi dan setiap inci bumi di negeri ini terletak di bawah naungan takhta pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Sultan Nazrin menitahkan kerajaan negeri memikirkan langkah-langkah strategik bersama kerajaan persekutuan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang meyakinkan.

Menurut baginda, perkara itu penting bagi menambah peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup rakyat serta mengikhtiarkan langkah yang dapat menjamin bekalan dan keselamatan makanan selain menambah baik kemudahan-kemudahan sosial serta perkhidmatan.

“Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, dalam situasi negara sedang menghadapi bebanan hutang yang tinggi, perbelanjaan negeri akan memberikan fokus kepada perkara-perkara yang menghasilkan manfaat langsung kepada rakyat di samping melaksanakan secara bersungguh langkah-langkah berjimat cermat dan menghentikan perbelanjaan-perbelanjaan berunsur pembaziran.

“Kerajaan beta akan mengambil ingatan mesej utama rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menolak amalan rasuah, ketirisan kewangan, salah guna kuasa dan perbuatan pecah amanah,” katanya.

Baginda bertitah, rakyat mahukan kerajaan yang bijak mengurus sumber-sumber negeri dan tegas mengawal ketirisan dan kebocoran sumber serta bersungguh mengelakkan pembaziran.