Bajet Perlis 2023 fokus tiga teras utama – MB

in Edisi by

Mohd Shukri

KANGAR – Bajet Perlis 2023 memfokuskan kepada tiga teras iaitu peningkatan ekonomi melalui pelaburan, peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembangunan negeri yang mampan, kata Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Bajet sulung kerajaan negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu berjumlah RM293.36 juta melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan, Mendepani Cabaran’.

Bajet 2023 itu dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15, di sini pada Selasa.

Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri menjunjung tinggi titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail supaya kerajaan negeri meneruskan projek berimpak tinggi yang akan mengubah landskap ekonomi dan menjadi pemangkin dan pembawa perubahan kepada pembangunan sosioekonomi negeri Perlis.

Antara penekanan yang diambil ialah dengan memperkasa prasarana logistik, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), pembangunan projek Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI), Agro Bussiness dan pelaburan swasta,” katanya menjelaskan mengenai teras pertama.

Mohd Shukri berkata, menerusi teras kedua, tiga fokus diberikan kepada kebajikan dan sosioekonomi, kesejahteraan rakyat, Perlis Go Digital.

Beliau berkata, program kebajikan rakyat, program pembangunan keusahawanan, peningkatan ekonomi melalui penternakan dan sektor pelancongan diberikan penekanan.

Selain itu, program perumahan, pembangunan sukan, pengiktirafan sukan dan kebersihan turut diberikan penekanan menerusi kesejahteraan rakyat.

“Sistem Data Rakyat Negeri Perlis, portal eBayar, serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur digital antara fokus melalui Perlis Go Digital,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, menerusi teras ketiga infrastruktur kemudahan awam seperti masjid, kemudahan dewan orang ramai krematorium, kemudahan gerai dan pencahayaan jalan, infrastruktur jalan, infrastruktur bekalan air infrastruktur tebatan banjir, sungai dan saliran dan infrastruktur saliran untuk pertanian terus ditambah baik,” katanya.

— LAGI

DUN-BAJET (TERAS UTAMA) 3 (AKHIR) KANGAR

Beliau berkata persidangan DUN kali ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali tiada wakil daripada kerajaan terdahulu dipilih untuk terus berada di dewan ini setelah berlaku pertukaran kerajaan negeri.

“ADUN-ADUN yang dipilih dari Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri berpandukan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya.

Pada PRU ke-15, PN memenangi 14 kerusi DUN daripada 15 kerusi di negeri yang menyaksikan perubahan landskap politik negeri ini. – Bernama