Banjir: Pengusaha inap desa rugi hampir RM10,000

in Edisi Kelantan by

Gambar hiasan

KOTA BHARU – Berikutan hujan lebat berterusan dan banjir melanda di Kelantan, beberapa pengusaha rumah inap desa mengalami kerugian hampir RM10,000 kerana menanggung kerosakan harta benda dan sebagainya.

Zalma Zakaria atau lebih dikenali Cheqma, 51, berkata, hujan lebat sejak Sabtu menyebabkan rumah inap desa yang diusahakannya sejak tahun lepas di Kampung Chekok, Pengkalan Chepa ditenggelami air hingga paras paha.

Saya alami kerugian hampir RM10,000 termasuk kos untuk baik pulih kolam, tilam, serta beberapa peralatan perabot yang rosak dan tidak boleh digunakan.

“Malah, saya terpaksa membatalkan tempahan pelanggan bermula 19 hingga 27 Dis kerana keadaan rumah inap desa saya masih perlu dibersihkan dan dibaik pulih terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Bernama, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zalma berkata, rumah inap desanya sebelum ini tidak pernah dilanda banjir dan ia adalah kali pertama berdepan situasi sedemikian.

Sementara itu, bagi Nazirah Johar, 46, pula berkata, walaupun rumah inap desanya di Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa tidak dinaiki air namun beberapa pelanggan terpaksa membatalkan tempahan berikutan kediaman mereka dilanda banjir.

“Rumah inap desa saya sudah beroperasi hampir empat tahun dan selalunya bulan Disember tempahan telah penuh diambil oleh pelanggan.

“Tetapi kali ini saya rugi hampir RM3,000 sebab ada beberapa pelanggan tidak dapat datang untuk menginap kerana banjir dan laluan akses untuk keluar dari rumah mereka dinaiki air,” katanya. – Bernama