'Ikrar Bebas Rasuah bukan hanya lafaz di bibir'

in Khas by

Antara pimpinan NGO yang hadir pada sesi Town Hall dan Ikrar Bebas Rasuah yang diadakan di Georgetown pada Selasa.

GEORGETOWN – Lebih 100 kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang menyatakan komitmen dalam usaha memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS), Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah berkata, inisiatif menggabungkan NGO di negeri ini diambil bagi menyokong usaha dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memberi pendidikan bahaya rasuah kepada masyarakat.

Menurutnya, usaha itu tidak boleh dilakukan sendirian sebaliknya sokongan padu semua lapisan masyarakat dan agensi amat diperlukan bagi memastikan budaya serta amalan rasuah dapat dihapuskan.

“Hari ini kita cuba menggabungkan lebih 30 badan bukan kerajaan dan badan-badan ada kaitan dalam usaha bersama SPRM untuk mencegah rasuah di negara kita.

“Komitmen dan kerjasama dengan semua NGO yang lain ini adalah usaha yang lebih bersepadu kerana sekiranya ia dijalankan sendiri mungkin kesannya lambat dirasai,” katanya ketika ditemui media selepas sesi Town Hall dan Ikrar Bebas Rasuah yang diadakan di sini pada Selasa.

Antara NGO yang telibat dalam sesi town hall dan ikrar bebas rasuah itu, Penang Global Tourism, Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang, Persatuan Hotel Pulau Pinang, Lions Club of Penang,

Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Jalan Tengah.

Selain itu, turut mengambil bahagian Persatuan Bekas Sukarelawan Simpanan Polis Pulau Pinang, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Timur Laut, Persatuan Kebajikan Asas Pulau Pinang, Bomba Sukarelawan Bukit Bendera dan banyak lagi.

Mengulas lanjut, Mohamad Anil Shah berkata, ikrar yang dilafazkan perlu dizahirkan kepada komitmen dalam pembanterasan rasuah.

Tegasnya, ia sebagai bukti bahawa organisasi telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mencegah jenayah rasuah.

“Ikrar itu bukan hanya lafaz di bibir tetapi kita perlu menjalankan dengan penuh integriti dalam usaha memerangi jenayah itu,”tagasnya.

Sementara itu, Mohamad Anil Shah berkata, pihaknya akan bersama SPRM dalam menjalankan kempen pencegahan rasuah di peringkat sekolah.

“Kita akan usahakan buat program di sekolah bersama SPRM dan juga dengan kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Sebab lagi baik kita didik anak-anak di sekolah kerana usaha perangi rasuah ini perlu dicegah daripada peringkat awal lagi,” tambahnya lagi.