JPS ramal banjir di Rompin pada Khamis

in Berita Semasa by

Gambar hiasan. – Foto: Bernama
KUANTAN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di dua lokasi di Rompin mulai jam 6 petang, Khamis ini.

JPS dalam kenyataan pada Selasa berkata, lokasi yang diramal banjir ialah Kampung Buluh Nipis dan Felda Selancar serta kawasan sekitarnya.

Ramalan itu adalah berdasarkan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada hari ini, dan hasil simulasi model ramalan banjir.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JPS turut meramalkan berlaku banjir di Sungai Melikai dan kawasan sekitarnya di daerah Mersing bermula jam 4 pagi esok.

Menerusi amaran banjir dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada jam 2 petang ini, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (bahaya) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada jam1.20 tengah hari tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Menurut JPS, bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

“Bagi daerah Kota Tinggi pula diramalkan banjir pada Khamis ini bermula jam 4 petang melibatkan Kampung Semangar dan kawasan sekitarnya.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya. – Bernama