Kelindan van sekolah didakwa lakukan amang seksual

in Berita Semasa by

Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa kerana melakukan amang seksual dan mahu menghasilkan bahan pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual dan mahu menghasilkan bahan pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu.

Goh Heng Hong, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai kelindan van sekolah didakwa dalam persediaan untuk menghasilkan suatu pornografi kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia lapan tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam van sekolah di dalam daerah Johor Bahru antara Mac hingga Julai 2019.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan tidak kurang daripada lima sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan yang sama dengan menyentuh paha dan dada kanak-kanak itu di dalam van sekolah dalam daerah Johor Bahru antara Mei hingga Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu, Danial memohon kes berkenaan tidak ditawarkan sebarang ikat jamin memandangkan tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah di laluan sama dengan mangsa hendak ke sekolah.

Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM35,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kepada RM1,000 memandangkan dia hanya bekerja sebagai kelindan van sekolah dan tinggal seorang diri kerana belum berumah tangga.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa serta keluarganya.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK) kerana tertuduh tidak mampu melantik peguam.

Kes disebut semula pada 25 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.