Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan umum letak jawatan

in Politik by

Khairuddin – Foto Bernama

SHAH ALAM – Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Khairuddin berkata, perjuangan beliau hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada bekas pengerusi gabungan parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, perkhidmatannya dalam Pejuang kini sudah tidak relevan lagi apabila peletakan jawatan Dr Mahathir diterima oleh Biro Politik parti dan dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pusat, pada 15 Disember lalu.

“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan Ahli Majlis Eksekutif Pusat (MEP) berkuat kuasa serta-merta tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Saya hanya memberi perkhidmatan secara terbaik dan teramanah mungkin kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Dr Mahathir Mohamad disahkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).

Dalam pada itu, Khairuddin menyatakan beliau juga telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tambahnya, mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan turut bersetuju untuk membubarkan keseluruhan senarai Ahli-Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri menganggotai MPN.

“Setelah mengadakan mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada 19 Disember 2022 jam 9 malam secara konsensus bersetuju untuk membubarkan keseluruhan senarai Ahli-Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri menganggotai MPN berkuat kuasa serta-merta,” ujarnya.