Pemuda selamatkan wanita cuba bunuh diri terima penghargaan

in Edisi Johor by

Muruga menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya dalam Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2022 di Dataran Kawad, IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.Kamarul Zaman (kiri) melihat sijil penghargaan yang diterima Muruga selepas Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2022 di Dataran Kawad, IPK Johor, Johor Bahru pada Selasa.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Vietnam berusia 30-an yang cuba membunuh diri di Stulang Laut di sini pada Ahad berjaya diselamatkan.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam Ahad sehingga 1 pagi Isnin, wanita asing berkenaan tidak meneruskan niatnya setelah dipujuk seorang pemuda yang berada di lokasi.

Menurut pemuda berkenaan, S Muruga Dass, 29, semasa tiba di kawasan tersebut, ramai orang berada di tepi pantai menyaksikan wanita itu.

“Saya yang ketika itu mahu membeli makanan melihat orang ramai berada di tepi laut. Wanita berkenaan ketika itu sudah berada dalam laut dengan paras air sudah mencecah dagu dan dipercayai mahu melemaskan dirinya.

“Wanita berkenaan sedang menangis. Saya kemudian masuk ke dalam air memujuknya dan memanggilnya ke naik ke darat tetapi dia tidak mahu dan menyuruh saya supaya pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan dalam Majlis Perhimpunan Bulan Disember 2022 di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Selasa.

**media[2029300]**

Muruga merupakan seorang daripada 113 orang awam yang menerima sijil penghargaan disampaikan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat atas sumbangannya menyelamatkan wanita berkenaan.

Muruga berkata, selepas kira-kira 15 minit memujuk, wanita berkenaan yang sudah hampir satu jam berada dalam laut tidak meneruskan hasratnya membunuh diri dan naik ke darat.

“Saya pikul dia dan bawa ke darat, saya dapat rasakan kaki dan tangannya sudah sejuk. Kemudian saya serahkan dia kepada anggota kastam di ​zon perdaga​ngan bebas Stulang Laut yang berhampiran kawasan itu,” katanya.

Bapa kepada seorang anak yang sebelum ini bekerja di Singapura itu mengakui lega apabila berjaya menyelamatkan wanita berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penerima sijil penghargaan, Inspektor Samon Chai Rat, 50, yang yang berkhidmat di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sudah bercita-cita mahu menjadi polis sejak kecil.

“Semasa kecil saya sangat suka melihat mereka yang memakai uniform terutama polis kerana kelihatan sangat segak,” katanya yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah.

Katanya, berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi beliau berjaya mencapai impiannya dan kini sudah 30 tahun menjadi polis.