Pengasuh dijel tujuh hari, denda RM32,000

in Berita Semasa by

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengasuh menekup kepala dengan plastik dan menarik rambut dua kanak-kanak masing-masing berusia 14 bulan, mengundang padah apabila dia dipenjara tujuh hari dan denda RM32,000 oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan pada Selasa.

Siti Rosliza Mukthar, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud dan Norina Zainol Abidin.

Norina menjatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM20,000 manakala Nu’aman mengenakan hukuman jel sehari dan denda RM12,000 terhadap tertuduh.

Hukuman penjara itu berjalan serentak bermula Selasa dan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama 18 bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 bulan dengan cara menekup kepala mangsa menggunakan plastik.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 bulan dengan cara mengheret tangan mangsa secara kasar dan menarik rambut untuk mendudukkannya.

Cara tersebut mungkin akan menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan fizikal, di sebuah taman asuhan kanak-kanak di Brickfields di sini, pada jam 3.19 dan 5.36 petang, 16 November lalu.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri dan Noorhani Muhmmed Ayub manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.

“Saya sudah tidak bekerja dan mempunyai pinjaman pembiayaan yang dilunaskan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khaliq berkata, tertuduh telah menganiaya kanak-kanak bawah asuhannya sedangkan seorang pengasuh sepatutnya bertanggungjawab serta berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan.

Sementara itu, Noorhani berkata, tertuduh yang merupakan seorang guru, telah diamanahkan oleh ibu bapa, untuk menjaga anak-anak asuhan namun telah menganiaya mangsa dengan bertindak sedemikian.