Perkeso Melaka bayar RM28.2 juta kepada pencarum

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Hee Sem (kiri) menunjukkan risalah SKSSR di Kuala Sungga pada Selasa.

ALOR GAJAH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka telah membayar RM28.2 juta bagi tuntutan faedah pelbagai kes kepada 18,327 pekerja dalam tempoh Januari hingga November lalu.

Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah itu, RM16.7 juta diperuntukkan untuk membiayai 16,404 kes hilang upaya sementara sekali gus mencatatkan tuntutan paling tinggi berbanding kes lain.

Menurutnya, bagi faedah hilang upaya kekal pula sebanyak RM8.96 juta diperuntukkan kepada 512 kes selain pencen Ilat berjumlah RM412,637 membabitkan 182 kes, manakala pencen Penakat RM573,401 bagi 408 kes.

“Perkeso turut membiayai pencen faedah orang tanggungan sebanyak RM61,906 dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM1.5 juta kepada 794 kes.

“Kita berharap semua pekerja termasuk yang bekerja sendiri membuat caruman, jika mereka layak Perkeso pasti akan pertimbangkan dan buat bayaran kepada mereka yang mengalami kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan faedah pekerja orang berinsurans (OB) di Kampung Kuala Sungga, Tebong di sini, pada Selasa.

Hee Sem turut berharap golongan suri rumah di negeri ini mengambil peluang mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan itu daripada bencana dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

“Skim yang dikuatkuasakan pada 1 Disember lalu menyediakan pelbagai faedah kepada suri rumah warganegara Malaysia berumur kurang daripada 55 tahun,” katanya.