Polis kesan pemandu Proton Wira larikan diri

in Berita Semasa by

Tangkap layar video tular berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta dan penunggang motorsikal di Taman Sutera Utama.

JOHOR BAHRU – Polis sedang mengesan pemandu sebuah Proton Wira yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan di Jalan Sutera Tanjung, Taman Sutera Utama di sini, pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pemandu kereta tersebut masih belum tampil membuat laporan polis.

Menurutnya, kereta Proton Wira dalam insiden itu merupakan kenderaan curi dan sudah ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Persiaran Scientex Utama, Senai hasil maklumat orang awam pada pagi Selasa.

“Laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 malam pada Isnin. Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki telah masuk di laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian melanggar penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan jalan sebelum terus melarikan diri dengan memandu secara melawan arus.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian belakang badan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa, manakala bagi kesalahan jenayah, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU di talian 07-5563122,” katanya.

Sebelum itu, klip video berdurasi 45 saat memaparkan kemalangan tersebut tular di media sosial.