Ronaldo catat kegagalan besar di Piala Dunia Qatar

in Sukan by

Ronaldo

BEKAS pemain Jerman, Lothar Matthaus menyifatkan Cristiano Ronaldo telah mengalami kegagalan besar dan telah merosakkan legasinya sendiri di Piala Dunia Qatar 2022.

Ronaldo mengalami prestasi tidak menentu selepas dilepaskan dari Manchester United sebelum permulaan kejohanan di Qatar berikutan temubualnya bersama rancangan TV Piers Morgan.

Selepas menjaringkan gol dalam perlawanan pembukaan menentang Ghana, Ronaldo kelihatan berang apabila dikeluarkan semasa perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Korea Selatan sebelum bermula di bangku simpanan dalam dua perlawanan peringkat kalah mati.

Matthaus menyifatkan Ronaldo telah membunuh kariernya sendiri di Piala Dunia susulan sikapnya itu selain memberikan kesan buruk kepada pasukan.

Malah, Matthaus percaya tiada kelab yang mahu mendapatkan khidmat pemenang lima kali Ballon D’Or itu berikutan prestasi dan sikap buruknya.

Dengan sikap egonya, Ronaldo telah merosakkan pasukan dan dirinya sendiri. Tidak dinafikan bahawa dia adalah pemain yang hebat dan penyerang yang bagus. Tetapi, kini dia telah merosakkan legasinya.

“Saya tidak fikir dia akan mudah mendapat pasukan yang bagus selepas apa yang berlaku di Qatar,” katanya.

Ketika Ronaldo dan Portugal tersingkir di suku akhir, nasib Lionel Messi dan Argentina jauh berbeza apabila pasukan Amerika Selatan itu menamatkan kemarau 36 tahun menjulang Piala Dunia.

Bagi Matthaus, Messi adalah pemain yang lebih baik daripada Ronaldo dan merupakan ‘pemain milenium’.

“Ronaldo sudah tentu kegagalan besar Piala Dunia, bertentangan dengan Messi.

“(Messi adalah) pemenang mutlak. Dia layak kerana dia telah memberikan saya dan semua peminat bola sepak kegembiraan yang hebat dengan kualitinya dan cara dia bermain selama 17-18 tahun.

“Bagi saya, Messi adalah pemain milenium,” katanya.