Tanah runtuh: Waris Nurul Azwani terima faedah Perkeso

in Berita Semasa by

V Sivakumar. – Foto: Bernama
KUALA LUMPUR – Waris kepada Allahyarham Nurul Azwani Kamarulzaman yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor, Jumaat lepas, layak menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan, Nurul Azwani, 31, menerusi warisnya layak menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan bayaran berkala Pencen Penakat menerusi bantuan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Puan Siti Esah Hassan, ibu kepada Nurul Azwani layak menerima FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar dan bayaran berkala Pencen Penakat berjumlah lebih kurang RM238 sebulan untuk seumur hidup,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan faedah di kediaman keluarga Nurul Azwani di Kampung Batu 5 di sini pada Selasa.

Dalam kejadian berkenaan, Nurul Azwani yang bekerja sebagai pembantu kantin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong, adalah antara 24 mangsa disahkan terkorban setakat ini manakala 61 selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

Selain itu, Sivakumar berkata, lima lagi mangsa yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu telah dikenal pasti Perkeso untuk waris menerima FPM, yang masing-masing berjumlah RM2,000 dan Pencen Penakat dengan anggaran sebanyak RM475 hingga RM2,500 sebulan.

“Penyerahan faedah kepada waris lima mangsa yang lain akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya yang turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa terlibat serta berharap perlindungan Perkeso dapat meringankan bebanan yang ditanggung waris mangsa. – Bernama