Terengganu terus catat jumlah mangsa banjir tertinggi

in Berita Semasa by

Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Besut, Hulu Terengganu dan Setiu hari ini. Foto Bernama

SHAH ALAM – Jumlah keseluruhan mangsa banjir di lima negeri yang terjejas meningkat kepada seramai 65,139 orang, setakat jam 12 tengah hari Selasa, berbanding 63,415 pada jam 6 pagi tadi.

Sehingga kini, lima negeri yang terjejas iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor melibatkan 17,774 keluarga.

Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 38,806 orang melibatkan 10,629 keluarga.

Kelantan merekodkan negeri kedua tertinggi dengan 25,353 mangsa melibatkan 6,897 keluarga.

Sementara itu di Perak seramai 54 mangsa daripada 17 keluarga yang terjejas dengan banjir, manakala Johor mencatatkan 53 mangsa melibatkan 17 keluarga.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Pahang menurun sedikit kepada 873 orang daripada 214 keluarga berbanding 934 orang pada pagi Selasa.

Dalam perkembangan sama, situasi di Terengganu masih lagi berada pada tahap bahaya susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri itu sehingga Khamis.

Hujan lebat berterusan pula dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, serta Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) sehingga Khamis.

Selain itu, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah dalam tempoh Jumaat hingga Sabtu ini.

Menurut MetMalaysia, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam.