Teruskan KGT bukti kerajaan hargai penjawat awam – Cuepacs

in Nasional by

Foto hiasan

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56 jelas membuktikan keprihatinan serta penghargaan terhadap pengorbanan kakitangannya dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan pentadbiran negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, tiada sebarang sebab kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti telah dicurahkan kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, masih banyak lagi inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam konteks hal-hal kebajikan dan penambahbaik skim perkhidmatan penjawat awam.

“Alhamdulillah, kerajaan telah menerima pandangan yang diberikan oleh Cuepacs apabila meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah pada Januari 2023 serta tambahan khas RM100 dalam bayaran KGT.

“Dalam masa sama, kami telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu-isu melibatkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian,”jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anwar mengumumkan inisiatif itu melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ia melibatkan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang sejumlah RM107,718,676,650.

Tambah Adnan, isu utama yang dibangkitkan oleh perwakilan dalam konvensyen tritahunan pada 17 hingga 19 Disember lalu adalah mengenai sistem saraan perkhidmatan awam yang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Para perwakilan berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan menetapkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 ketika ini.

“Kami berharap pertemuan dengan Anwar kelak dapat memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai tuntutan yang dimohon oleh Cuepacs dan penjawat awam,” ujarnya.