Tukang masak Masjid India Muslim Ipoh meninggal dunia

in Berita Semasa by

Allahyarham Mustafha Kamal rajin memasak bubur lambuk daging kambing yang terkenal di Masjid India Muslim Ipoh. – Foto ihsan pembaca

IPOH – Tukang masak di Masjid India Muslim Ipoh, Mustafha Kamal Varusai Mohamad, meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Mustafha Kamal terkenal kerana menjadi tonggak utama dalam menyediakan juadah bubur lambuk daging kambing di masjid berkenaan sejak 17 tahun lalu dimasukkan ke HRPB selepas mengadu sakit di bahagian dada.

Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaikh Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia sekitar jam 12.40 tengah malam kerana sakit jantung.

“Pagi semalam beliau dibawa oleh anaknya ke hospital dan difahamkan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut sama ada di Hospital Serdang atau Pulau Pinang.

“Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di masjid ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, Mustafha Kamal disifatkan sebagai ahli masjid yang sangat ceria dan ‘ringan tulang’ ketika menyertai aktiviti masjid sejak 20 tahun lalu.

“Dia antara ahli kariah yang sangat teruja dalam menghulurkan bantuan dengan memasak lapan periuk bubur lambuk setiap hari bagi meneruskan tradisi masjid ini.

“Disebabkan uzur, kita ambil beberapa petugas untuk membantunya memasak kerana tidak mahu membebankannya pada Ramadan lalu,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Masjid India Muslim Ipoh yang berusia kira-kira 100 tahun di sini menjadi tumpuan orang ramai mendapatkan bubur lambuk daging kambing yang merupakan satu-satunya masjid menyediakan juadah istimewa itu setiap Ramadan.