480 pekerja kurier tuntut tunggakan gaji, pampasan

in Edisi by

Kamarul (lima kiri) dan kumpulan pekerja yang hadir turut mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut syarikat membayar gaji tertunggak dan pampasan.

SHAH ALAM – Seramai 480 pekerja sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang diberhentikan secara berperingkat menuntut bekas majikan mereka membayar segera gaji tertunggak dan pampasan setimpal.

Mereka mendakwa diberhentikan secara berperingkat bermula Disember sehingga Januari oleh syarikat yang telah beroperasi kira-kira 37 tahun itu dan menghentikan operasi perniagaannya secara beransur-ansur bermula bulan ini.

Selain gaji tertunggak pada November dan Disember serta pampasan, pekerja terbabit turut mendakwa syarikat tidak membayar caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira setahun lalu.

Wakil kepada kumpulan pekerja terbabit, Mohd Hezri Rosli, 42, berkata, tindakan bekas majikan tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan sepatutnya diterima mereka mengecewakan dan disifatkan sebagai penganiayaan.

Menurutnya, tindakan syarikat berkenaan tidak membayar gaji tertunggak dan pampasan jelas membebankan pekerja yang perlu menanggung perbelanjaan keluarga dan ada di antaranya masih belum mendapat pekerjaan.

“Sehubungan itu, kita sudah membawa perkara ini kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang kemudian mengatur perbincangan di antara pekerja dan majikan di Pejabat Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor,” katanya ketika ditemui di hadapan Menara Bank Rakyat Shah Alam selepas berakhir perbincangan di pejabat berkenaan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor dan kumpulan pekerja yang hadir turut mengadakan perhimpunan secara aman bagi menuntut syarikat membayar gaji tertunggak dan pampasan.

Seorang lagi pekerja, Badarudin Bakar, 59, berkata, dia dan rakan-rakan amat memerlukan pembayaran tunggakan gaji yang boleh digunakan untuk menyediakan keperluan keluarga masing-masing.

“Kami amat memerlukan pembayaran tunggakan gaji yang boleh digunakan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak serta membayar hutang,” katanya yang sudah berkhidmat selama 27 tahun di syarikat itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya akan mendesak Kementerian Sumber Manusia untuk memberi perhatian serius berhubung isu pemberhentian kerja tanpa pampasan yang sering berlaku dalam negara.

“Kita juga mahu pihak kementerian lebih tegas dalam isu seperti ini termasuk mengesan syarikat-syarikat terbabit dan menyenarai hitamkan pengarah-pengarah syarikat terlibat supaya isu yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.