Banjir: MB Terengganu berada di New Zealand?

in Edisi Terengganu by

Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Tular di media sosial dakwaan bahawa Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiada ketika rakyat di negeri itu berdepan gelombang kedua bencana banjir.

Dakwaan itu turut dibuat Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi siaran langsung di media sosialnya pada malam Selasa.

Selain itu, beberapa tangkap layar tiket penerbangan pemimpin berkenaan ke Auckland, New Zealand turut tular dan dikongsikan hampir di semua platform media sosial.

Bagaimanapun, sebelum ini Ahmad Samsuri dilihat melawat di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus pada 9 Disember lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ketiadaan Menteri Besar itu di Terengganu ketika ini tidak menjadi isu kerana persiapan banjir telah dibuat secara rapi.

“Segala gerak kerja bagi pengurusan bencana di Terengganu telah diatur dan kesemua anggota penyelamat di lapangan termasuk bekalan makanan bagi mangsa banjir mencukupi.

“Saya sangat berpuas hati dengan persediaan dan kesiapsiagaan kita berdepan bencana yang saban tahun dihadapi rakyat negeri ini. Jadi, soal MB tiada di Terengganu ketika ini bukan menjadi isu.

“Apa yang menjadi isu ialah sekiranya terdapat PPS yang tidak mencukupi, mangsa bencana tidak cukup makanan dan seumpamanya,” ujar beliau.

Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, semua pihak memainkan peranan dengan baik sepanjang berdepan bencana kali ini.

“Sebagai Timbalan Pengerusi Pengurusan Bencana negeri, saya sangat berpuas hati dengan gerak kerja yang diaturkan semua petugas banjir sama ada di lapangan untuk menyelamat atau di PPS.

“Semua exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing memainkan peranan dan turun ke kawasan masing-masing untuk membantu mangsa banjir,” kata beliau.