Mangsa banjir di Terengganu hilang rumah akan dibantu

in Berita Semasa by

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Paka membantu mengeluarkan mangsa yang terkandas di rumah mereka disebabkan paras air mula naik di sekitar kawasan Sungai Nyior Paka pada Rabu.

JERTEH – Sebanyak sembilan rumah mengalami rosak teruk termasuk lima dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut pada Isnin lepas.

Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, Kampung La merupakan kampung paling teruk terjejas apabila empat rumah dihanyutkan arus dan sebuah lagi di Kampung Bekok dekat Bukit Payong.

“Kerajaan negeri akan berusaha untuk memberi bantuan sewajarnya dan saya akan memohon agar kerajaan negeri membina rumah baharu kepada mangsa terlibat.

Rumah mereka yang rosak juga memang sudah tidak boleh dibaiki lagi dan memerlukan rumah baharu,” katanya kepada Bernama ketika melawat sebuah lagi rumah yang dihanyutkan arus deras di Kampung Bekok dekat sini, pada Rabu.

Mat Daik menyifatkan kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 20 tahun di Hulu Besut apabila hampir keseluruhan daripada 40 kampung yang terdapat di DUN terbabit dilanda banjir.

“Bayangkan banjir kali ini, bot boleh dinaiki secara terus di atas jalan raya bermula dari Kampung Cherang Meliling dekat Bandar Jerteh sehingga ke Kampung Bukit Mali, Hulu Besut sejauh kira-kira 15 kilometer,” katanya.

Sementara itu, pemilik sebuah rumah yang hanyut di Kampung Bekok, Che Hussin Che Ali, 73, berkata rumah kayu yang didiami adiknya dihanyutkan arus deras dalam kejadian awal pagi Isnin.

“Rumah tersebut saya bagi adik saya, Che Jahari, 61, tinggal bersama anak-anaknya memandangkan dia tidak ada rumah tapi pada siang hari yang sama kami dapati rumah itu sudah beralih tempat apabila dihanyutkan air.

Akibat kejadian ini adik saya sekarang terpaksa menumpang di rumah anak saya yang terletak berdekatan dan ketika kejadian mereka berada di pusat pemindahan banjir (PPS) Masjid Kampung Bukit Payong,” katanya. – Bernama

Ikuti perkembangan semasa mengenai banjir di seluruh negara di sini!