MP Hulu Selangor bincang penutupan jalan Batang Kali-Genting

in Berita Semasa by

Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang kanvas sementara di lereng tanah runtuh -Foto Bernama

HULU SELANGOR – Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun akan bertemu Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi berbincang isu penutupan jalan Batang Kali ke Genting selama setahun bagi kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh.

Hasnizan berkata, pihaknya menerima aduan dan mengambil maklum permintaan pengguna yang setiap hari menggunakan jalan tersebut untuk bekerja.

Menurutnya, kesukaran dihadapi pengguna difahami apabila pernah berdepan situasi sama sewaktu sebongkah batu besar jatuh di Lebuh raya Utara Selatan selepas persimpangan ke Kuala Lumpur sekitar 2003.

“Saya dapat merasai bagaimana peningkatan kos secara tiba-tiba terutamanya yang punyai keluarga urusan anak dan sebagainya.

“Lebih setahun saya terpaksa lalui jalan alternatif yang jauh dan sesak untuk ke tempat kerja,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, soal keselamatan tidak boleh diambil ringan dan akan dipersalahkan jika berlaku insiden tidak diingini.

“Namun (masalah itu) boleh dibawa berbincang dengan JKR, menyediakan laluan alternatif khusus untuk pekerja dan hanya kenderaan motosikal sahaja.

“Saya akan usahakan bertemu atau berhubung dengan JKR untuk membincangkan perkara ini. Insya-ALLAH, ” katanya.

Pada Selasa, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang berlaku Jumaat lalu dijangka mengambil tempoh selama setahun sebelum laluan tersebut boleh dibuka semula bagi laluan orang ramai.

Penutupan jalan itu mengundang pelbagai reaksi pengguna di laman sosial termasuk ada antaranya meluahkan kekesalan kerana tempoh pembaikan mengambil masa yang lama.