Pembangkang Perak tidak setuju tubuh Penyelaras DUN

in Edisi by

Mohd Akmal ketika sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak pada Persidangan DUN Perak pada Rabu.

IPOH – Tiada keperluan untuk mewujudkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan pembangkang bagi mengurus agihan peruntukan kerajaan.

Mohd Akmal Kamarudin (Pas-Selama) berkata, kerajaan negeri baharu perlu meneruskan perkhidmatan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) lalu dengan peruntukan diberi sama rata tidak mengira DUN kerajaan mahupun pembangkang.

“Ramai antara mereka yang secara berkala akan hadir ke pusat khidmat memohon bantuan tak kira bantuan kotak makanan dan inisiatif kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan alhamdulillah, dapat dipenuhi dan diproses melalui pusat khidmat.

“Namun menjadi kegusaran buat kami Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sebelah sini sekiranya kerajaan negeri ingin melangkah kebelakang dan meneruskan perjuangkan kerajaan 22 bulan dahulu dengan mewujudkan penyelaras di DUN pembangkang.

“Sekiranya benar, ini merupakan berita yang amat mendukacitakan mana tidaknya, Yang Berhormat Kota Tampan ketika dilantik sebagai Ketua Pembangkang sepanjang tempoh tersebut telah memperjuangkan perkara sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Rabu.

Mohd Akmal berkata, memetik Titah Tuanku pada Selasa mengenai ancaman penguncupan dan pertumbuhan ekonomi yang teruk, maka mewujudkan pusat penyelaras hanya akan membazirkan wang rakyat dan hanya untuk kepentingan puak-puak tertentu.

“Peruntukan untuk DUN perlu diberikan kepada Pusat Khidmat yang telah sah dilantik oleh rakyat.

“Saya percaya bahawa kerajaan negeri hari ini lebih memahami, namun sekiranya masih bertindak sedemikian, bermakna suara rakyat tidak didengari, demokrasi yang telah dijalankan semasa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah dikhianati dengan mewujudkan Penyelaras DUN,” katanya.