Pendakwaan bantah sekat media lapor perkataan sensitif

in Berita Semasa by

Ebit diiringi peguamnya, Ram Singh (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.

TENOM – Pihak pendakwaan dalam kes pendakwah terkenal, Ebit Lew membantah permohonan daripada peguam bela untuk media melaporkan perkataan sensitif yang diberitahu dalam mahkamah sepanjang prosiding kes itu berlangsung.

Dalam hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, pihak pendakwaan berpandangan sama dengan mahkamah bahawa kes itu dibicarakan dalam mahkamah awam dan media mempunyai hak untuk melaporkannya.

“Bukti diberikan di dalam mahkamah awam. Media tidak boleh bersifat selektif untuk memilih atau memutuskan apa perkara yang sensitif kepada tertuduh atau pengadu.

“Jadi kami tidak bersetuju dengan permintaan itu,” katanya sebelum pemeriksaan balas terhadap saksi ketiga, Firdaus Wong diteruskan pada Rabu.

Berdasarkan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan tidak melayan permohonan perintah larangan yang dikemukakan pihak pembelaan.

Sebelum itu, peguam bela, Ram Singh yang mewakili Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim memohon mahkamah untuk mendapatkan perintah larangan terhadap media supaya tidak melaporkan kenyataan atau bukti yang sensitif dalam mahkamah.

“Anak guam saya menunjukkan kebimbangan mengenai publisiti dalam media berkenaan kenyataan yang disebut dalam keterangan mengenai kes ini semasa dalam perbicaraan semalam (Selasa).

“Saya memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah larangan (gag order) untuk tidak dilaporkan kenyataan atau bukti yang sensitif di dalam mahkamah.

“Ini kerana sebahagian daripadanya menyakiti pengadu dalam kes ini dan juga menganggu emosi tertuduh,” katanya.

Sebelum itu, Ebit, 37, diwakili barisan peguamnya iaitu Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Ebit berhadapan dengan berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.