Penipuan kerja: 359 diselamatkan, 129 masih dikesan

in Nasional by

KLN sehingga 20 Disember menerima 488 laporan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) sehingga 20 Disember secara keseluruhan telah menerima 488 laporan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Menurut kenyataan KLN pada Rabu, daripada jumlah itu, seramai 359 orang berjaya diselamatkan dengan 331 dibawa pulang ke Malaysia dan 28 lagi masih berada di depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang.

Statistik mangsa sindiket yang telah diselamatkan setakat ini ialah 227 di Kemboja, 61 (di Laos), 38 (di Thailand) dan 33 (di Myanmar).

“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara yang berkenaan dan dengan kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melipatgandakan usaha bagi menjejaki 129 lagi mangsa yang dilaporkan masih belum dapat dikesan, melibatkan negara Kemboja (satu kes), Thailand (lapan kes), Laos (29 kes) dan Myanmar (91 kes).

“Pada masa sama, kementerian turut mengharapkan bantuan dan kerjasama orang ramai untuk sentiasa cakna dengan isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket jenayah ini diminta untuk melaporkan kepada pihak PDRM dan KLN dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Pihak mangsa atau waris boleh melaporkan dan menyampaikan maklumat yang berkaitan kepada KLN melalui e-mel; bkrm@kln.gov.my.

KLN memandang serius isu membabitkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menangani isu ini.

Dalam perkembangan terkini, enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar telah selamat dibawa pulang hari ini menerusi penerbangan Thai Airways TG415.

Dua daripadanya merupakan mangsa yang video mereka telah dimuat naik oleh Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) baru-baru ini manakala empat lagi adalah daripada tahanan Imigresen Thailand.

Kesemua mereka telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan pantas dan proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa hasil kerjasama erat KLN dengan Kedutaan Malaysia di Bangkok.

“Pada masa sama, kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket ini.

“KLN juga merakamkan penghargaan buat YB Tuan Sim Chon Siang, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum yang turut menghulurkan bantuan dalam membantu urusan bagi membawa pulang mangsa,” tambah kenyataan itu. – Bernama