Penyakit misteri 'serang' Afghanistan

in Global by

Sistem penjagaan kesihatan di Afghanistan dibiayai sepenuhnya oleh pembiaya asing sehingga Taliban mengambil alih kuasa selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (A)S pada Ogos 2021. – Foto Agensi

KABUL – Patogen tidak diketahui telah menjangkiti lebih 80 individu dan meragut dua nyawa kanak-kanak di wilayah Zabul di Afghanistan, menurut media tempatan pada Selasa.

Pihak berkuasa Taliban memberitahu penyakit misteri itu menyebabkan demam yang teruk selain berlaku pendarahan pada mulut dan hidung.

Ketua Kesihatan Awam, Abdul Hakim Hakimi berkata, klinik di daerah Shahjoy di wilayah itu merekodkan peningkatan jumlah kes penyakit misteri tersebut sejak beberapa minggu lalu.

Wilayah Zabul pernah dilanda penyakit misteri pada musim panas lalu apabila kira-kira 200 penduduk di Shahjoy mengalami simptom seperti taun pada Mei lalu dipercayai berpunca daripada tahap kebersihan yang lemah.

Pada akhir bulan lalu, wabak pertussis atau batuk kokol menjangkiti 300 penduduk di wilayah itu dan turut menyebabkan kematian dua kanak-kanak.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap sistem kesihatan di Kabul kini ‘di ambang kejatuhan’ berikutan kurang satu daripada lima klinik negeri masih beroperasi dan penyakit seperti polio adalah endemik.

Difahamkan, sistem penjagaan kesihatan di Afghanistan dibiayai sepenuhnya oleh pembiaya asing sehingga Taliban mengambil alih kuasa selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (A)S pada Ogos 2021. – Agensi