Perarakan rai kejayaan Argentina ragut satu nyawa

in Global by

Lautan manusia membanjiri Buenos Aires bagi menyambut kepulangan wira Piala Dunia Argentina sehinga meragut satu nyawa. Foto EPA

SAMBUTAN ke atas wira Argentina yang merangkul kejuaraan ketiga Piala Dunia 2022 diselubungi tragedi menyayat hati apabila seorang lelaki meninggal dunia, manakala seorang kanak-kanak bertarung nyawa di Buenos Aires pada Rabu.

Peminat berusia 24 tahun itu terjatuh dari jambatan ke atas bumbung bas pasukan sebelum tercampak di jalan raya.

Seorang budak lelaki berusia lima tahun pula bertarung nyawa dipercayai akibat bersesak di tengah lautan manusia yang meraikan kejayaan Argentina meraih Piala Dunia selepas menewaskan Perancis pada Isnin.

Perarakan skuad kendalian Lionel Scolani itu dirancang untuk melalui laluan sejauh 30 kilometer (km) dari luar pusat bandar ke Buenos Aires.

Bas dua tingkat itu sudah bergerak selama lima jam selepas berlepas dari pekarangan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), namun terpaksa dihentikan awal atas nasihat keselamatan yang serius dan para pemain kemudian dibawa menaiki helikopter.

Kereta peronda polis turut dirampas oleh para peminat, manakala tindak tanduk penyokong yang melompat ke dalam bas sukar dikawal.

“Adalah mustahil untuk terus bergerak kerana sambutan yang hebat ini,” kata jurucakap presiden, Gabriela Cerutti menerusi Twitter.

Beberapa media tempatan melaporkan lebih kurang empat juta orang berkumpul untuk menyambut wira mereka.

Dalam pada itu, AFA mengakui kecewa apabila terpaksa menamatkan perarakan lebih awal – dengan pemain melengkapkan perjalanan menggunakan helikopter.

“Pemain-pemain pasukan bola sepak Argentina mengakhiri perayaan dengan terbang menaiki helikopter ke atas penyokong yang berkumpul di bandar itu.

“Mereka membuat keputusan itu selepas mengesahkan bahawa mereka tidak boleh meneruskan perjalanan dengan bas di tengah-tengah orang ramai,” ujar jurucakap AFA.

Presiden AFA Claudio Tapia pula berkata; “Mereka tidak membenarkan kami untuk menyambut semua orang yang berada di Obelisk.

“Agensi keselamatan yang sama yang mengiringi kami tidak membenarkan kami bergerak ke hadapan.”