Pertuduhan jenayah sebelum ini konspirasi politik terancang

in Berita Semasa by

Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan pada Isnin lepas terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ia adalah dendam keji yang dilakukan untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.

Menurut Anwar, beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia sebelum 2 September 1998 dan mempunyai rekod prestasi sempurna sebagai orang yang memegang jawatan awam kedua tertinggi selain disenaraikan sebagai satu daripada empat menteri kewangan teratas oleh Euromoney dan dinamakan sebagai Menteri Kewangan terbaik pada 1996 oleh Asiamoney.

“Namun, saya telah disingkirkan dari kedua-dua jawatan awam oleh pihak yang berkuasa pada 1998. Bagi merosakkan reputasi serta imej, saya telah didakwa dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali.

Sebelum dipecat, saya dengan bersunguh-sungguh dan tanpa henti mengekalkan pendirian tidak bersalah dan menegaskan bahawa semua pertuduhan jenayah terhadap saya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang,” katanya.

Anwar, 75, selaku plaintif berkata demikian menerusi pernyataan tuntutan terpinda yang difailkan dalam samannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah “Jelajah PN Best Tambun”.

Menurut Anwar, atas sebab itulah, Yang di-Pertuan Agong menganggap dan melihat adalah wajar untuk mengampuni beliau pada 16 Mei 2018 bagi memulihkan imej dan reputasinya.

Katanya, tujuan utama dan kesan titah Seri Paduka untuk memerintahkan Pengampunan Diraja adalah untuk memadamkan sepenuhnya dan secara muktamad semua atau mana-mana keburukan terhadapnya berkenaan kesalahan jenayah yang disabitkan.

“Walaupun defendan (Muhammad Sanusi) mempunyai pengetahuan penuh berkenaan perkara ini, beliau telah secara melulu tanpa mengambil kira kesan dan akibat Pengampunan Diraja oleh Seri Paduka, telah memfitnah saya,” kata Anwar.

Pada 13 Disember lepas, Anwar memfailkan saman itu menerusi Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Sementara itu, peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama hari ini berkata saman terpinda itu telah diserahkan kepada peguam defendan dari Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, petang Rabu. – Bernama