Pindah kuasa kawal selia bekalan gas langkah ke hadapan

in Politik by

HAJIJI

KOTA KINABALU – Keputusan Kerajaan Persekutuan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah adalah satu langkah ke hadapan ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketika mengalu-alukan keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu, Hajiji berkata, ini sentiasa menjadi aspirasi negeri itu dan rakyatnya.

Ketua Menteri berkata, beliau telah membangkitkan keperluan untuk memenuhi MA63 semasa pertemuan pertamanya dengan Anwar selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

“Kerajaan negeri teguh dalam usaha untuk mengawal dan menguruskan sumber minyak dan gas negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, selepas keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengadakan sidang khas untuk meluluskan dan mewartakan Rang Undang-Undang Negeri Sabah bagi bekalan gas.

Hajiji berkata, Suruhanjaya Tenaga Sabah akan mengambil alih semua kuasa kawal selia untuk bekalan gas di darat (penggasan semula, penghantaran, pengedaran, penggunaan gas oleh pemegang lesen swasta dan runcit) di negeri ini berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk menghormati MA63. – Bernama