Sambutan kepulangan wira Argentina bertukar huru-hara

in Sukan by

Suasana sambutan daripada penyokong di Buenos Aires. – Foto Agensi

SKUAD Piala Dunia Qatar 2022, Argentina terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter apabila peminat melompat dari jambatan ke bas pasukan.

Sekurang-kurangnya seorang penyokong dilaporkan cedera dan dibawa dengan pengusung ketika Lionel Messi dan pemain La Albiceleste melalui laluan berhampiran jambatan di Buenos Aires.

Para penyokong memanjat turun dari jambatan ke atas bas apabila ia lalu di bawahnya namun seorang daripadanya terjatuh.

Itu antara beberapa adegan huru-hara yang berlaku ketika sambutan wira terhadap skuad Argentina yang menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir 18 Disember lalu

Perarakan skuad kendalian Lionel Scolani menempuh 80 kilometer selepas berlepas dari pekarangan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA), namun terpaksa dihentikan awal atas nasihat keselamatan.

Beberapa media tempatan melaporkan lebih kurang empat juta orang berkumpul untuk menyambut wira mereka.

Pada mulanya sambutan yang bermula meriah dan berjalan lancar berubah sehingga insiden jambatan itu.

Sementara itu, AFA mengakui kekecewaan apabila terpaksa menamatkan perarakan lebih awal – dengan pemain melengkapkan perjalanan menggunakan helikopter.

“Pemain-pemain pasukan bola sepak Argentina mengakhiri perayaan dengan terbang menaiki helikopter ketika penyokong berkumpul di bandar itu.

“Mereka membuat keputusan itu selepas mengesahkan bahawa mereka tidak boleh meneruskan perjalanan dengan bas di tengah-tengah orang ramai.”

Presiden AFA Claudio Tapia berkata: “Mereka tidak membenarkan kami untuk menyambut semua orang yang berada di Obelisk.

“Agensi keselamatan yang mengiringi kami tidak membenarkan kami bergerak ke hadapan.”