Simpan 'duit pisang' sebagai ingatan hidup susah zaman Jepun

in Edisi by

Mokhtar (kiri) dan Roslina menunjukkan wang kertas semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Perenggan, Sabak Bernam pada Selasa.

SABAK BERNAM – Seorang bekas imam tidak berhasrat menjual wang kertas dolar Jepun atau lebih dikenali sebagai ‘duit pisang’ semasa penjajahan Jepun walaupun ditawarkan jutaan ringgit.

Mokhtar Awang, 87, berkata, sebanyak 13 keping mata kertas Jepun itu masih disimpan kemas di dalam sampul surat lama sebagai terapi untuk dia mengimbau kenangan semasa zaman peperangan.

“Kalau hendak jual duit pisang, memang sudah lama saya jual duit ini, sebab orang kata jual duit lama amat bernilai tinggi.

“Saya tak terfikir untuk menjual duit ini, bagi saya ia amat bernilai dan dapat mengingatkan betapa susahnya kita ingin bebaskan tanah air semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Perenggan di sini pada Selasa.

Mokhtar memberitahu, dolar Jepun pada waktu itu digunakan secara meluas dan berlaku inflasi sewaktu pemerintahan penjajah.

“Saya masih ingat lagi hendak membeli selipar jepun waktu itu harganya 200 dolar Jepun, masa sekarang kalau kita bayangkan RM200 pun sudah terlalu mahal, apatah lagi zaman 1940-an,” katanya.

Menurut Mokhtar, wang kertas pelbagai saiz itu masih disimpannya untuk ditunjukkan kepada generasi pada masa akan datang.

“Setidak-tidaknya apabila cucu dan cicit saya bertanya tentang sejarah, bolehlah saya keluarkan wang kertas ini untuk menunjukkan kepada mereka betapa saya pernah melalui zaman penjajah.

“Ini juga membuktikan saya amat sayangkan negara dan ingin mengenali lebih dekat sejarah sekali gus menghargai tanah air tercinta,” ujarnya lanjut.

Menurut Mokhtar, selain menyimpan wang kertas lama, dia juga mempunyai hobi mengumpul barangan antik yang sukar lagi didapati pada masa ini.

“Antara barangan lama saya simpan seperti set pinggan mangkuk lama, seterika arang, balang air, periuk dan acu bahulu tembaga dan peralatan membuat kuih,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pakaian sulaman tradisional dan bantal baldu berusia lebih 60 tahun turut menjadi koleksi peribadinya hingga ke hari ini.

Anak sulungnya, Roslina Mokhtar, 60, berkata, bapanya itu mempunyai hobi menyimpan barangan lama.

Malah, katanya, bagi mereka yang ingin melihat koleksi lama boleh singgah di teratak mereka untuk merakam gambar untuk kenang-kenangan.

Selain itu, katanya, bagi mereka yang singgah di Rumah Warisan Haji Mokhtar, mereka juga boleh menempah makanan yang dihidangkan dalam talam mengikut tiga set menu disediakan.

“Biasanya kita makan di kedai atau restoran, tetapi uniknya di sini, kami menghidangkan makanan untuk mereka merasai sendiri suasana di dalam rumah tradisi yang berusia lebih 70 tahun.

“Kami menawarkan kelainan kepada mereka yang datang ke sini iaitu makan bersama keluarga dalam suasana berbeza,” jelasnya.