Tanah runtuh: Laung azan ikhtiar cari mangsa hilang

in Berita Semasa by

Seorang anggota bomba melaungkan azan di lokasi kejadian tanah runtuh sebagai ikhtiar dalam operasi mencari baki mangsa pada Rabu.

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting di sini pada Rabu dimulakan dengan laungan azan.

Laungan azan itu dikumandangkan oleh seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, perkara itu salah satu ikhtiar dilakukan.

“Ini adalah salah satu ikhtiar pasukan operasi,” katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas sejak bila ikhtiar itu dilaksanakan.

Pada jam 11.15 pagi, satu mayat lelaki dewasa ditemui di sektor B (farmview).

Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 26 orang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu masih diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh mangsa yang masih hilang.