Tiada kes Covid-19 melibatkan mangsa banjir di PPS

in Edisi Pahang by

Petugas Kesihatan menjalankan aktiviti Kesihatan bersama mangsa banjir yang berada di PPS SK Cherating di Kuantan.

KUANTAN – Tiada Kes jangkitan Covid-19 dan kes tifoid, cacar air, taun, leptospirosis, penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) dan denggi dilaporkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga 20 Disember lalu, 1,014 mangsa banjir telah dibuat saringan gejala Covid-19 sebelum memasuki PPS dan tiada kes positif dilaporkan.

Menurutnya, daripada jumlah mangsa banjir diperiksa itu, 100 kes (9.9 peratus) dikesan mempunyai masalah kesihatan lain seperti batuk selsema (62 kes) Dan penyakit kulit (18 kes), bergejala demam (15 kes), acute gastroentritis (3 kes) dan konjuntivitis (dua kes).

“Bilik Gerakan Banjir Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah dibuka sejak 12 Disember lalu bagi mengkoordinasi pasukan perubatan dan kesihatan di lokaliti bencana.

“Dalam tempoh 17 November sehingga 20 Disember lalu, terdapat 50 PPS telah dibuka di daerah Lipis, Raub, Temerloh, Jerantut, Bera dan Kuantan dengan kumulatif mangsa seramai 2,965 orang,” katanya ketika ditemui selepas lawatan beliau ke PPS di Sekolah Kebangsaan Cherating di sini pada Rabu.

Dr Nor Azimi berkata, JKNP telah menyediakan 272 pasukan terdiri 149 pasukan perubatan dan 123 pasukan kesihatan bagi menghadapi banjir kali ini.

Beliau berkata, pasukan perubatan berperanan memberi rawatan di PPS manakala pasukan kesihatan melakukan aktiviti pencegahan, pemantauan dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran pusat-pusat pemindahan.

“Bermula 17 November lalu sehingga kini, secara kumulatif terdapat 70 pasukan perubatan dan 67 pasukan Kesihatan telah ditugaskan di PPS yang dibuka di tujuh daerah terjejas banjir.

“JKNP turut menyediakan 95 pasukan Kesihatan Mental dan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya.

Menurutnya, pasukan MHPSS telah memberikan sokongan psikososial kepada 356 mangsa banjir dan 29 kepada petugas barisan hadapan secara kumulatif sehingga 20 Disember lalu

“Antara aktiviti psikososial yang diberikan adalah relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan,” katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, hepatitis A, tifoid dan acute gastroenteritis.

“Sentiasa amalkan tatacara membasuh tangan yang betul dan penjagaan kebersihan diri semasa bencana banjir.

“Selain itu sentiasa gunakan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah semasa aktiviti-aktiviti pembersihan pascabanjir bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis, melioidosis dan lain-lain penyakit bawaan air dan makanan.

“Jika mengalami gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk, sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Nor Azimi berkata, semua fasiliti kesihatan di negeri Pahang beroperasi seperti biasa dan tiada yang ditutup akibat banjir Kali ini.

Beliau berkata, persediaan awal dan kesiapsiagaan telah dilaksanakan dengan memastikan aset, peralatan dan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan berisiko banjir ditempatkan di lokasi yang selamat