[VIDEO] Tanah runtuh: Mayat kanak-kanak ditemui di kedalaman 5 meter

in Berita Semasa by

Suffian pada sidang media perkembangan terkini tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, pada Rabu.

BATANG KALI – Mayat kanak-kanak perempuan iaitu mangsa ke-25 tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Genting di sini ditemui di kedalaman lima meter bawah tanah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mangsa dikenal pasti adalah kanak-kanak perempuan berusia anggaran 6 hingga 10 tahun.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 11.15 malam (Selasa) dan tertimbus di kedalaman kira-kira lima meter.

“Semasa dijumpai, mangsa berpakaian baju dan seluar warna merah jambu,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Rabu.

Beliau berkata, turut dijumpai berhampiran mangsa adalah beg berisi pakaian selain komputer riba. Namun, tiada pengenalan diri ditemui.

Katanya, mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Susulan penemuan mangsa terbabit, beliau berharap ada perkembangan positif bagi meneruskan misi mengesan baki lapan mangsa hilang.

“Ini satu ‘booster’ kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa lain. Kita juga menjalankan kaedah ‘sweeper’ di luar kawasan kejadian untuk usaha menjejaki sekiranya ada mangsa,” ujarnya.

Kata Suffian, operasi pada hari keenam diteruskan dengan kekuatan 100 orang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selain khidmat jentera pengorek (excavator) serta Unit Anjing Pengesan (K9).

Antara agensi utama terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).