Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO perlu dikekalkan

in Politik by

Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM – Kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO perlu dikekalkan dan terus diberi kepercayaan untuk penggal yang berikutnya bagi menjayakan gandingan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kebijaksanaan serta kualiti kepimpinan yang dipamerkan Ahmad Zahid seharusnya dihargai dan diraikan oleh ahli-ahli UMNO memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi.

Menurutnya, Ahmad Zahid sebagai peneraju parti memainkan peranan besar dengan memahami nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.

“UMNO bertuah walaupun kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun berjaya berada dalam Kerajaan Perpaduan dengan diberi kepercayaan bagi memimpin beberapa kementerian penting.

“Kerjasama dan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri adalah sebuah testimoni kematangan politik dan keutamaan yang dicurah pada tempatnya,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Khairul Azwan, gandingan dan semangat sepasukan itu bakal melahirkan dasar dan tata kelola yang baik selain program reform dapat mengembalikan keyakinan pelabur serta rakyat.

“Semoga wadah Kerajaan Perpaduan ini berjaya mengangkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang diharapkan,” ujarnya.