Azeem terima dana pendidikan Perak

in Sukan by

Muhammad AzeemSaarani ketika membentangkan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh. Foto: Korporat SUK Perak

KERAJAAN Perak bersetuju memberi Dana Pendidikan Negeri bernilai RM600,000 kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dana berkenaan diberikan kepada remaja yang menerima julukan ‘Usain Bolt Malaysia’ selepas mencatatkan sejarah pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada 2 Ogos lalu.

“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Muhammad Azeem berjaya memecah rekod kebangsaan bagi acara 100 meter dengan catatan masa 10.09 saat pada kejohanan itu.

“Ia juga sebagai galakkan kepada anak muda lain untuk berjaya dalam bidang pendidikan dan sukan,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

**media[2032051]**

Tambah Saarani, insentif sebanyak RM100,000 diberikan kepada skuad hoki lelaki negeri.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki lelaki Perak berikutan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ketiga,” katanya.

Ogos lalu, media melaporkan atlet muda negara itu membuat keputusan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi pilihannya bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Muhammad Azeem meraih keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajian di universiti Minnesota, Oregon dan Houston di AS.