Banjir: 2,700 keluarga terima sumbangan Pakej Prihatin Petronas

in Edisi Terengganu by

Antara mangsa banjir yang menerima sumbangan di PPS SK Kemasik.

KEMAMAN – Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan kepada 2,700 keluarga mangsa banjir di tiga negeri Pantai Timur menerusi Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, program itu adalah usaha berterusan yayasan berkenaan bagi membantu mangsa banjir.

“Melalui pakej prihatin, setiap keluarga menerima sumbangan kelengkapan asas seperti air mineral, selimut, tuala, peralatan mandian, berus dan ubat gigi serta makanan.

“Sumbangan ini diharap mampu meringankan beban serta memberi manfaat kepada seisi keluarga sementara mereka dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Sumbangan bagi mangsa banjir di Terengganu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Sementara itu, M Ahmad Shazly berkata, sumbangan yang disampaikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut diagihkan ke 10 buah negeri terjejas banjir di seluruh negara dengan kos hampir RM1 juta.

“Petronas sebelum ini menyokong agensi penyelamat banjir di 14 negeri di seluruh negara melalui sumbangan 36 buah bot, 8,800 buah khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 helai baju hujan.

“Awal tahun ini, Yayasan Petronas turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan, Pahang dan Tumpat, Kelantan melakukan persiapan lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM),” ujar beliau.