Banjir: Bekalan barangan basah bermasalah

in Edisi by

Kenaikan harga beberapa jenis sayur-sayuran berikutan kekurangan bekalan susulan banjir melanda di Kelantan.
KOTA BHARU – Banjir yang melanda Kelantan sejak seminggu yang lalu menyebabkan kekurangan bekalan barangan basah setempat yang seterusnya menyebabkan kepada peningkatan harga.

Peniaga barangan basah di Gua Musang, Fadhli Hamdi Abdullah, 50, berkata, dia antara yang terkesan dan terpaksa mencari alternatif dengan mendapatkan bekalan di luar Kelantan, termasuk dari Kuala Lumpur.

“Sejak seminggu yang lalu, kami menghadapi kesukaran untuk mendapat bekalan bagi jualan kerana pembekal adalah dari kawasan Kota Bharu.

Jadi kami terpaksa mendapatkan bekalan dari Kuala Lumpur dengan kuantiti lebih sedikit dari pembekal asal, malah harga bagi semua bahan juga meningkat naik terutamanya untuk ikan dan sayur,” katanya pada Khamis.

Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan, Asharun Uji berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga mengenai masalah itu.

“Bukan sahaja aduan dari segi harga dan bekalan, peniaga juga mengeluh kerana ketiadaan pelanggan,” katanya.

Asharun berharap kerajaan dapat menyediakan geran mudah mahupun bantuan sekali beri kepada golongan peniaga dan penjaja bagi membantu golongan itu selepas banjir pulih kelak.

Berlainan pula bagi bekalan makanan kering, bagi peniaga kedai runcit di Gua Musang, Mohd Faisal Mohd Nordin, 39, berkata, bekalan makanan kering di premisnya tidak terjejas dan masih dijual pada harga standard seperti biasa.

Di Terengganu, keadaan serupa turut dilaporkan dengan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd Kia memberi jaminan bekalan makanan termasuk telur masih mencukupi walaupun berlaku banjir luar jangka.

Saharuddin berkata, masalah bekalan makanan terputus tidak timbul walaupun terdapat beberapa laluan utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak dapat dilalui disebabkan tanah runtuh akibat banjir beberapa hari lepas.

Beliau berkata, ia memandangkan KPDN telah memberi kebenaran kepada 160 Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 74 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) untuk menyimpan stok bekalan lebih 30 peratus daripada jumlah yang dibenarkan lesen.

“Memang terdapat pengurangan bekalan telur sebanyak 60 peratus disebabkan LPT2 yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Lumpur tidak dapat dilalui kerana tanah runtuh. Tetapi …ia tidak menjejaskan bekalan kerana semua pemborong dibenarkan simpan lebih stok barang untuk persediaan banjir,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Saharuddin berkata, masalah kekurangan petrol atau diesel juga tidak timbul walaupun terdapat lima stesen minyak yang terpaksa ditutup akibat banjir di negeri ini.

Stesen itu termasuk dua di Hulu Terengganu, dua di Besut dan satu di Setiu selepas kawasan mereka dilanda banjir gelombang kedua yang buruk sejak Sabtu lepas.

“Sebab itu kita wujudkan perkhidmatan pengisian minyak bergerak yang dikenali sebagai ROVR untuk memberi perkhidmatan di lokasi yang ditimpa bencana seperti banjir kali ini,” katanya. – Bernama