ECRL: Penjimatan dicapai melalui beberapa siri rundingan semula

in Nasional by

Gambar hiasan

SHAH ALAM – Penjimatan kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dicapai melalui beberapa siri rundingan semula kontrak ECRL yang telah dimuktamadkan pada tahun 2019 dan 2022.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, beberapa faktor termasuk pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (Value EngineeringVM) yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada seksyen C (Temerloh Serendah-Pelabuhan Klang) turut menyumbang kepada pengurangan kos pembinaan keseluruhan itu.

“Untuk makluman, TDC untuk ECRL 1.0 adalah berjumlah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion, perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion dan kos pembangunan lain seperti faedah semasa pembinaan (Interest During Construction-IDC), pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta yuran sambungan.

“Sebagai perbandingan, TDC untuk ECRL 3.0 yang sedang dalam pembinaan pula kini dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion, terdiri daripada kos pembinaan yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion manakala kos pembangunan lain seperti IDC, pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan serta perbelanjaan mengurus adalah berjumlah RM24.69 bilion,” jelasnya pada Khamis.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijimatkan sebanyak RM11.01 bilion berbanding kos keseluruhan asal berjumlah RM85.97 bilion yang ditetapkan pada 2016.

Tambah kenyataan itu, dengan kos pembinaan sebanyak RM50.27 bilion, rakyat Malaysia dapat menikmati Projek ECRL yang telah ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo.

“Ia melibatkan pembinaan rel sepanjang 665 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, pembinaan 20 stesen, pembinaan Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport.

“Selain itu, kementerian ingin menzahirkan penghargaan kepada Anwar di atas sokongan berterusan untuk memastikan Projek ECRL dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dan negara sebagaimana dirancang,” ujarnya.