Hampir setengah juta daftar SMUE

in Edisi Selangor KL by

Ganabatirau (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Program SMIS dan Sesi Taklimat SMUE, SMIS Kepada Penyelaras DUN Selangor di Bangunan SUK pada Khamis.

SHAH ALAM – Sejumlah 441,880 orang mendaftar Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) membabitkan 417,003 warga emas dan 24,877 terdiri golongan orang kurang upaya (OKU) sehingga kini.

Exco Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri, V Ganabatirau berkata, banyak perubahan berlaku sepanjang tempoh pelaksanaan SMUE selepas dilancarkan pada bulan Ogos 2009.

“Sebelum ini, manfaat diterima ahli berdaftar adalah manfaat khairat kematian sahaja, kini ahli berdaftar menerima dua jenis manfaat iaitu manfaat semasa hidup dan manfaat selepas kematian.

“Ahli menerima baucar beli-belah setiap tahun berjumlah RM100 yang kini dinaikkan kepada RM150 bermula tahun depan manakala khairat kematian bernilai RM500 akan diberikan kepada waris.

“Bermula tahun depan juga, pemberian baucar beli-belah kepada ahli tidak lagi mengikut bulan kelahiran kerana mereka boleh mengambil baucar pada bila-bila masa sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Program Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) dan Sesi Taklimat SMUE, SMIS Kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) pada Khamis.

Dalam pada itu, Ganabatirau berkata, SMUE sering dilihat sebagai program untuk warga emas walaupun terbuka untuk golongan OKU tanpa had umur dan mengikut rekod pendaftaran untuk OKU hanya 5.5 peratus dari jumlah keseluruhan permohonan SMUE.

“Oleh itu, adanya keperluan untuk menstruktur semula program SMUE agar lebih berkesan dan dikenali golongan sasar dan kini, program SMUE dijenamakan semula sebagai Skim Mesra.

“Di bawah Skim Mesra, nama program SMUE dikekalkan untuk golongan warga emas sahaja, manakala bagi golongan OKU akan menggunakan nama baharu yang dikenali sebagai SMIS.

“Sehubungan itu, besarlah harapan saya, kepada yang hadir mendengar taklimat SMUE dan SMIS pada hari ini (Khamis) dapat menghebahkan maklumat terkini kepada masyarakat agar lebih ramai yang dapat menikmati manfaat ini,” katanya.