Ibu tunggal dipilih ikon usahawan asnaf Negeri Sembilan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Zainal (empat dari kiri) beramah mesra dengan penerima anugerah Ikon Asnaf. Turut kelihatan Siti Aidah (dua dari kiri) dan Rohaidah (kiri)

SEREMBAN – Dua usahawan wanita asnaf yang merupakan ibu tunggal dipilih sebagai Ikon Asnaf 2022 oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Siti Aidah Ahmad, 51 dan Rohaida Mustapa, 51 bergelar asnaf selepas kematian suami tetapi bangkit mengubah nasib hidup dengan menyertai program pembangunan keusahawanan MAINS di bawah kursus My Bidan.

Menurut Siti Aidah yang mengusahakan spa bergerak, menjadi tekadnya untuk keluar daripada kategori asnaf dan menjadi pembayar zakat suatu hari nanti.

“Saya bergelar asnaf pada 2018 selepas kematian suami. Macam-macam pekerjaan yang saya buat waktu itu untuk menyara tiga anak termasuk menyediakan servis menggunting rambut.

“Saya bersyukur pada tahun 2021, saya diberi peluang menyertai program kursus My Bidan selepas diberi galakan oleh Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed dan sejak itu ia mengubah hidup saya,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dari menerima pendapatan yang tidak seberapa, dia kini mampu memperoleh lebih RM3,000 sebulan.

Tambahnya, dia tidak mahu dibantu buat selama-lamanya dan mahu menjadi sebahagian daripada pemberi bantuan kepada orang lain pula.

“Saya malu untuk duduk di dalam kalangan asnaf terlalu lama. Saya bukannya nak kaya, tapi cukup untuk menampung hidup anak beranak.

” Terima kasih kepada MAINS dan pihak lain yang membantu. Saya bersyukur kerana kehidupan saya mula berubah,”katanya.

Rohaida pula berkata, dia bagaikan kehilangan nyawa apabila suami meninggal dunia pada tahun 2004 ditambah pula perlu menyara tiga anak yang masih kecil.

Katanya, hidupnya menjadi sukar waktu itu kerana arwah suaminya tidak meninggalkan apa-apa harta.

“Jadi macam-macam kerja saya buat temasuklah kerja kontrak dan pekerja pembersihan hanya untuk memastikan anak-anak ada makan dan minum.

“Sekarang ini, Alhamdulillah saya mampu memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 selepas menyertai program di bawah MAINS dan ia berjaya mengubah hidup saya,” katanya.

Oleh sebab itu menjadi sasarannya untuk keluar daripada kategori asnaf dan membantu golongan asnaf lain keluar daripada kepompong kemiskinan.

Sementara itu Setiausaha MAINS, Zainal Said berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu bertujuan menghargai hasil kejayaan asnaf dan sebagai memberi motivasi kepada golongan asnaf untuk berusaha mengubah kehidupan mereka.

“Melalui bantuan dan sokongan MAINS, kita mahu mereka ini keluar dari kepompong kemiskinan, lebih berdikari dan mampu meningkatkan pendapatan.

” Yang pentingnya mereka ini perlu rajin berusaha mengubah nasib diri dan harapan kita juga mereka dapat keluar dari kategori asnaf serta menjadi pembayar zakat pula suatu hari nanti,” katanya.

Pada program itu juga tiga anak asnaf turut terpilih sebagai ikon asnaf selepas berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).