Kes demam denggi meningkat 4.2 peratus minggu lepas

in Berita Semasa by

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah peningkatan kes demam denggi terutama bagi mereka di kawasan terjejas banjir. – Gambar hiasan 123RF. (Gambar kecil: Dr Noor Hisham)
KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 tahun ini (ME50/22) dari 11 hingga 17 Disember meningkat 4.2 peratus iaitu 1,950 kes berbanding 1,871 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.

Beliau berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga kini adalah 62,060 kes berbanding 25,161 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 146.7 peratus, manakala 49 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, 16 lokaliti di Sabah, enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya dan empat lokaliti di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, survelan chikugunya pula merekodkan 22 kes pada ME ke-50 dengan 12 kes di Pulau Pinang, lima kes di Perak, Negeri Sembilan (dua kes) dan masing-masing satu kes di Selangor, Melaka serta Terengganu.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,132 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah peningkatan kes demam denggi terutama bagi mereka di kawasan terjejas banjir.

“Semasa bencana banjir, semua pihak yang menggunakan pusat pemindahan sementara (PPS) perlu bersama-sama menjaga kebersihan dan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.

“Bagi mencegah gigitan nyamuk, pakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang semasa berada di PPS dan pakai bahan repelan (antiserangga) pada anggota badan yang terdedah,” katanya.

Beliau menyarankan agar masyarakat melakukan aktiviti gotong-royong selepas banjir surut untuk menjaga kebersihan kediaman dan persekitaran bagi memastikan ia tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. – Bernama