'Lega tapi pilu'

in Berita Semasa by

Melvin Chin

BATANG KALI – Lega tetapi pilu. Itu luahan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas ahli keluarganya yang merupakan mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, di sini berjaya ditemui pada Khamis.

Anggota APM, Sarjan Melvin Chin, 59, merupakan salah seorang anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian sejak hari kedua operasi mencari dijalankan pada Sabtu.

APM dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, penemuan empat mangsa pagi tadi memberi sedikit kelegaan buat Melvin dan keluarganya.

“Dengan penemuan empat mangsa tadi telah memberi pengakhiran kepada sebuah penantian dalam dua buah keluarga.

“Beliau (Melvin) berasa amat terkejut kerana ia melibatkan ramai mangsa dan lebih mengejutkan lagi apabila mengetahui terdapat saudara sekampung dari Melaka terlibat,” menurut kenyataan pada Khamis.

APM memaklumkan, Melvin yang merupakan anggota APM Daerah Klang telah meminta untuk ditugaskan dalam operasi SAR di Batang Kali sejurus menerima khabar duka berkenaan.

APM turut memberitahu bahawa Melvin dan seluruh keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota yang terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

“Takziah kepada Melvin Chin serta semua waris mangsa Tragedi Tanah Runtuh, Batang Kali.

“Semoga kesemua mangsa dapat ditemui dan memberi pengakhiran kepada semua waris-waris terlibat,” katanya.