Lelaki dipenjara sehari, didenda bantu rumah pelacuran

in Berita Semasa by

Tertuduh (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di Melaka, pada Khamis.

MELAKA – Seorang lelaki dihukum penjara sehari dan denda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan membantu rumah pelacuran dan membenarkan tiga wanita warga asing tanpa permit berada di premisnya.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu kepada Lau Chee Kiow @ Lau Chee Keong, 53, selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kesnya selain menimbangkan rayuan dan fakta kes ni terhadap tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah didapati menolong rumah pensundalan di No B-15-04, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, di sini, jam 4.45 petang, pada 13 Januari 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didapati membenarkan tiga imigran haram iaitu dua warga Thailand, Kanokon Phuangpanya dan Panwarot Talakanjanawat dan warga Vietnam, Nguyen Thi Ngoc Phuong, berada di premis itu pada tarikh dan masa sama.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/1963 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin dijumpai di dalam premis, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula dari tarikh sabitan pada Khamis dan denda RM8,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi pertuduhan pertama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM15,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh diwakili peguam Melvin Tay merayu supaya tertuduh dikenakan denda paling ringan dengan alasan dia yang kini menganggur perlu menyara ibu warga emas berusia 75 tahun.

Selain itu pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan kos dan masa semua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan kepada tertuduh dan wang tunai berjumlah RM1,120 serta barang kes dirampas daripada tertuduh dilucutkan kepada kerajaan.