Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS

in Bisnes by

Gambar hiasan – Foto 123RF

NILAI ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS pada sesi pembukaan dagangan pagi ini, dirangsang oleh minat belian terhadap mata wang tempatan di tengah-tengah peningkatan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.4320/4350 berbanding dolar AS daripada 4.4375/4405 pada penutup pada hari Rabu.

Harga minyak telah melonjak sebanyak 2.76 peratus.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat ringgit telah dibuka pada kedudukan yang lebih baik apabila sentimen risiko meningkat.

“Pelabur mungkin menyaksikan mata wang tempatan pada paras 4.42 hari ini apabila sentimen risiko global stabil selepas Bank of Japan mengambil langkah mengejut yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah pada awal minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3553/3581 daripada 3.3714/3740 pada penutupan Rabu, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3614/3650 daripada 5.3880/3917 dan mengukuh berbanding euro pada 4.7055/7085 berbanding 4.7113/7145 semalam.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.2827/2857 daripada 3.2829/2856 sebelumnya. – Bernama