PBT perlu sediakan kemudahan infrastruktur buat penjaja

in Nasional by

Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya di kawasan bandar perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa kepada penjaja dan peniaga kecil agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan suasana kondusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu perlu disediakan memandangkan kumpulan berkenaan juga turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negara menerusi perniagaan yang dijalankan.

“Di kota seperti Kuala Lumpur bukan saja seharusnya ada kemudahan bagi syarikat dan industri besar, namun perlu menyertakan kemudahan bagi memacu ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang diwakili golongan berpendapatan rendah.

“Kemudahan di kota mesti diselitkan dengan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil agar dapat berniaga dengan selesa, ada kemudahan asas yang cukup,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2022 (HPPK2022) pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, perkara itu merupakan antara intipati perbincangan semasa mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Pagi tadi saya di DBKL… antara matlamat utama saya, kita harus adakan anjakan. Apa dia anjakan? Keindahan Bandar Raya Kuala Lumpur misalnya mesti disertakan dengan upaya (usaha) berlebihan (untuk) menyediakan tempat perniagaan bagi penjaja dan peniaga kecil seluruh Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, menerusi usaha itu yang bertujuan untuk merakyatkan ekonomi, ia juga dapat memberi peluang penyertaan kepada semua golongan termasuk penjaja dan peniaga kecil selain turut menyeru setiap kementerian di dalam Kerajaan Perpaduan bekerjasama untuk menjadikan pentadbiran yang diterajuinya benar-benar merakyatkan ekonomi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ekonomi negara bukan hanya dijana oleh syarikat besar sahaja tetapi turut melibatkan penyertaan peniaga kecil dan sederhana.

Perdana Menteri berkata, kehadirannya yang julung kali menghadiri majlis berkenaan menggambarkan komitmen dan fokus utama kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi golongan berpendapatan rendah.

Anwar dalam pada itu mahu dana sedia ada dapat disalurkan kepada kumpulan sasar dan bagi merealiasasikan hasrat itu, pihak pengurusan institusi kewangan yang dipertanggungjawabkan bagi urusan pembiayaan perniagaan kecil dan sederhana, perlu memahami tujuan dan matlamat penubuhan institusi masing-masing.

“Malaysia mempunyai pelbagai agensi bantuan kewangan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Ia bermatlamat memberi ruang kemudahan dan keselesaan kepada rakyat (peniaga kecil dan sederhana),” katanya. – Bernama