Penjawat awam Perak terima bonus khas minimum RM2,000

in Edisi Perak by

Saarani

IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan dengan kadar satu setengah bulan gaji dan minimum RM2,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran sepenuhnya bantuan kewangan itu akan dibuat pada tahun semasa.

“Turut menerima bantuan khas berkenaan ialah Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan serta Pekerja Sambilan Harian (PSH).

“Bagaimanapun, pemberian ini dikecualikan kepada Menteri Besar dan barisan exco,” katanya dalam Pembentangan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

Beliau berkata, menghargai komitmen tidak berbelah bahagi daripada penjawat awam, kerajaan negeri menyediakan RM2.0 juta bagi tuntutan bayaran awal gantian cuti rehat kepada yang layak, RM2.0 juta bagi insentif khas pesara dan RM50,000 untuk insentif mengerjakan umrah atau keluar negara.

Katanya, kerajaan negeri turut mengunjurkan RM100 juta sumbangan terkumpul Badan Berkanun Negeri bagi tempoh 10 tahun mulai 2023 hingga 2032.

“Ini bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan perolehan hasil kerajaan negeri yang kini banyak tertumpu kepada hasil cukai,” katanya.